SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI DEDAP

06800 KOTA SARANG SEMUT KEDAH.

TELEFON:047414307

SEJARAH SEKOLAH


SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap mula diasaskan pada tahun 1956. Sebelum penubuhannya sekolah ini berasal daripada sekolah agama yang diasaskan oleh seorang guru agama iaitu Ustaz Ariffin.
          Pada mulanya bangunan sekolah Agama ini didirikan secara bergotong-royong oleh penduduk-penduduk setempat. Usia sekolah ini tidak lama memandangkan kurang sambutan daripada anak-anak penduduk. Akhirnya sekolah agama tersebut terpaksa ditutup dan Ustaz Ariffin telah berpindah ke tempat lain.
          Memandangkan bangunan yang sudah tersedia tetapi tidak berfungsi, beberapa orang penduduk yang berpengaruh pada masa itu telah berusaha mengumpulkan pelajar-pelajar yang berminat untuk belajar lalu membuat permohonan kepada pihak kerajaan agar sebuah sekolah disediakan untuk keperluan penduduk kampung.
         Pada tahun 1956 sebuah sekolah umum telah dibuka oleh pihak kerajaan . Pihak kerajaan telah menghantar dua orang guru bagi memulakan tugas untuk mendidik anak-anak penduduk di sekitar kampung Sungai Dedap dan beberapa kampung yang berhampiran. Guru-guru tersebut ialah cikgu Zainol Abidin dan Cikgu Hussin.   Mereka memulakan  tugas dengan membuka dua kelas bertempat di bangunan sekolah yang sedia ada.
Pelajar-pelajar yang memulakan pengajian adalah terdiri daripada anak-anak tempatan yang berumur dalam lingkungan 6 hingga 20 tahun.Semakin hari pelajarnya semakin bertambah, menyebabkan tempat yang tersedia tidak dapat menampung jumlah pelajar yang banyak. Oleh itu, pelajar-pelajar terpaksa dipindahkan sebahagiannya ke masjid Sungai Dedap
Pada tahun 1957 dua orang guru lagi terpaksa dibekalkan bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai iaitu mencecah ke angka 150 orang. Tempat belajar atau bilik darjah terpaksa ditambah dengan membuka kelas di bawah rumah dua orang penduduk yang merelakan rumah mereka dijadikan kelas. Bilik-bilik darjah tambahan ini dibuka di rumah Tuan Haji Yaakub bin Tuan Haji Saud.
 Oleh kerana keadaan kelas yang kurang selesa pihak kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk mendirikan sebuah bangunan khas untuk dijadikan sekolah. Bangunan itu didirikan diatas tapak yang lebih sesuai. Pada tahun 1963, bangunan sekolah yang berasaskan kayu dan konkrit telah siap didirikan. Bangunan ini menyediakan 6 bilik darjah dan 1 bilik pejabat dan Guru Besar. Pelajar-pelajar yang sebelum ini terpaksa diletakkan  di tempat-tempat berasingan telah dipindahkan ke bangunan .
Penduduk setempat mengambil berat terhadap kepentinagn pendidikan jumlah pelajar semakin bertambah. Bangunan 6 bilik darjah tidak lagi dapat menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah. Pihak kerajaan terpaksa menambah lagi satu bangunan bertingkat untuk menampung pelajar pada tahun 1981.  Bangunan dua tingkat ini mempunyai kemudahan-kemudahan tambahan yang lebih baik di mana menyediakan tujuh bilik darjah, bilik guru, pusat  sumber dan pejabat serta empat bilik air
 Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap telah dirasmikan pada 12 April 1984 oleh Yang Berhormat Dato Musa Hitam iaitu Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Sehingga sekarang sekolah ini telah mencatat beberapa kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum.